TEKNIK SKOR PENDIDIKAN AGAMA ISLAM KERTAS 2

Soalan pendidikan Islam SPM kertas 2 mengandungi 5 soalan utama yang menguji pengetahuan dan kefahaman pelajar dalam bidang tilawah, hadis, hafazan, tajwid dan jawi.




1. TILAWAH & AYAT KEFAHAMAN : (Soalan 1a, 2a, 3a, 4a, 5a = 48-50 markah)


* Hanya 5 daripada 13 topik ayat kefahaman akan disoal.
* Kenal pasti soalan-soalan popular bagi setiap topik.
* Tip menjawab soalan pengajaran : pastikan ada frasa “Kita hendaklah….” “Umat Islam wajib…”.
* Pengajaran boleh direka berdasarkan pernyataan(clue) yang diberi dalam soalan. Pastikan anda bijak menggunakan “clue” yang diberi :
Contoh soalan : "Ayat di atas menerangkan larangan Allah kepada orang yang mempermainkan agama." (clue soalan) Nyatakan pengajaran yang dapat diambil daripada ayat.
Contoh jawapan : "Kita hendaklah menjauhkan diri daripada orang yang mempermainkan agama agar hidup kita sentiasa diberkati."
Keterangan lanjut, rujuk : MODUL SKIMA UMUM SPM


2. HADIS : (Soalan 1b, 2b, 3b = 20-22 markah)


* 3 daripada 4 tajuk hadis akan disoal. Ini bermakna sebahagian besar soalan hadis adalah soalan yang berulang seperti tahun-tahun sebelumnya.
* Pelajar perlu menguasai sepenuhnya isi pelajaran hadis-hadis ini.
* Kenal pasti soalan-soalan hadis yang kerap ditanya dalam peperiksaan. Biasanya soalan yang sama dengan kata tugas yang berbeza.


3. HAFAZAN : (soalan 1c, 2c, 3c = 12 markah)


* Pelajar beruntung kerana mulai SPM 2006, format ayat hafazan agak berbeza dan lebih mudah.
* Setiap soalan telah disediakan pilihan jawapan A,B,C dan D. Ini bermakna pelajar yang lemah hafazan sekalipun masih berpeluang mendapat markah dengan cara meneka.
* Soalan "membariskan ayat" pula digantikan dengan soalan "susun ayat". Pelajar cuma perlu susun ayat dengan betul.
* Jika pelajar tidak mampu menghafaz ayat, gunakan teknik meneka dan jangan biarkan ruang jawapan kosong tanpa sebarang jawapan.
* Tip susun ayat : sekiranya satu potongan ayat diberi, potongan ayat terakhir selalunya potongan ayat yang terdapat tanda wakaf atau ada hukum mad arid lissukun.
* Tip Hafaz ayat :
a. Sekiranya pelajar sukar menghafaz ayat-ayat ini, pelajar boleh membacanya secara berulang. Mudah-mudahan apabila menjawab soalan hafazan, ayat yang sentiasa dibaca ini akan tergambar secara automatik.
b. Bagi pelajar yang tidak tahu membaca ayat, cuba tulis ayat-ayat hafazan secara berulang. Insya Allah teknik ini boleh membantu anda mengingati ayat-ayat dengan mudah.
* Tip meneka ayat : Baca ayat secara keseluruhan. Cuba padankan pilihan jawapan dengan potongan ayat satu persatu. Cari yang paling munasabah dan tidak janggal bunyi ayatnya.
* Banyakkan latih tubi : rujuk MODUL AYAT HAFAZAN


4. TAJWID : (Soalan 4b & 5b = 8-10 markah)


* Hukum-hukum tajwid yang disoal adalah terdiri daripada hukum nun sakinah, mim sakinah, mad, qalqalah, hukum alif lam dan wakaf.
* Kuasailah hukum asas nun sakinah dan mim sakinah kerana hukum ini merupakan soalan yang wajib keluar dalam setiap set soalan.
* Hukum mad yang paling popular pula ialah mad wajib muttasil, mad jaiz munfassil, mad arid lissukun, mad Iwad, mad silah qasirah & tawilah. Hukum mad yang lain jarang-jarang keluar dalam soalan kertas 2.
* Bagi mengingat cara bacaan hukum-hukum tajwid ini, anda boleh menggunakan teknik ini :


- cara bacaan hukum nun sakinah & mim sakinah : Ada 2 hukum sahaja yang dibaca dengan nyata iaitu IZHAR HALQI dan IZHAR SYAFAWI. Selain daripada hukum yang 3 ini, cara bacaannya adalah dengung.


- cara bacaan bagi hukum mad : semuanya mesti dibaca panjang sama ada panjang 2/4/5/6 bergantung kepada jenis mad.(Rujuk nota)


* Ringkasan hukum tajwid : sila klik : Nota Ringkas Hukum Tajwid


5. JAWI : (Soalan 4c & 5c = 8-10 markah)


* Menguasai asas penulisan jawi adalah bonus kepada pelajar.
* Perbanyakkan latih tubi menulis perkataan-perkataan yang berimbuhan, perkataan tradisi dan perkataan pinjaman bahasa Ingeris atau bahasa Arab.
* Pelajar diminta menukarkan petikan jawi kepada rumi dalam soalan 5c. Oleh itu kebanyakan pelajar berpeluang mendapat markah dengan mudah.
* Rujuk : NOTA RINGKAS JAWI, MODUL LATIH TUBI JAWI TAHAP 1, MODUL LATIH TUBI JAWI TAHAP 2


KESIMPULAN :


* Berdasarkan jumlah markah yang diberi, bidang ayat kefahaman mewakili hampir 50% markah kertas 2. Oleh itu pastikan pelajar benar-benar menguasai topik-topik ayat kefahaman dengan baik.
* Ini bermakna pelajar mampu skor A sekiranya pelajar menjawab soalan ayat dan hadis dengan baik kerana ianya mewakili 70 markah. Oleh itu pelajar tidak perlu bimbang sekiranya kurang menguasai bidang hafazan, tajwid dan jawi.


TEKNIK MEMBUAT RAMALAN


Selain itu, pelajar juga boleh mencuba beberapa teknik di bawah untuk menguasai kertas 2 :


Buatlah kajian tentang soalan-soalan yang popular bagi setiap topik. Antara bahan yang anda perlukan untuk mengkaji soalan ialah :


1. Analisis soalan-soalan tahun lepas.
2. Analisis kekerapan tajuk dalam soalan percubaan antara negeri


Contoh-contoh soalan popular bagi tajuk-tajuk berikut :


1. Manusia Perlu Bersyukur :
- Sebab dibinasakan umat terdahulu - Contoh-contoh nikmat
- Cara menghargai nikmat - Pengajaran ayat


2. Rasul Penyampai Wahyu :
- Maksud khazanah Allah - Contoh khazanah Allah
- Cara menjaga khazanah Allah - Peranan Rasul
- Sebab Rasul dilantik dari kalangan manusia – perbezaan orang buta dan celik.


3. Larangan Mempersendakan Agama :
- Larangan yang terdapat dalam ayat
- Cara mengelak larangan tersebut


Lihat analisis keseluruhan tajuk, sila klik :


Jadual ANALISIS SOALAN PENDIDIKAN SPM K2 2004-2009


Jadual ANALISIS SOALAN PERCUBAAN MENGIKUT NEGERI PI K2 2010


Daripada analsis tersebut, pelajar dapat mengenal pasti soalan-soalan penting yang biasa ditanya bagi setiap tajuk.
Mudah-mudahan panduan ini membantu pelajar dan guru membuat persedian terakhir bagi menghadapi peperiksaan PI pada 30 November nanti. Tip-tip yang saya berikan ini adalah berdasarkan pengalaman sebagai guru PI SPM. Nantikan teknik skor PI kertas 1 dalam siri akan datang. Selamat mencuba.

6 comments:

Anonymous said...

mr bean ni menggangu la orang nak baca blog!!!!

Anonymous said...

Syukran :) amat membantu.

Alani said...

salam...macam copy paste dari blog saya...

Anonymous said...

Terima kasih daun keladi.

Shah said...

?

Shah said...

Mana tu spm 2020

Post a Comment